Etimologi Rujukan Bahasa Sepanyol

Rujukan Bahasa Sepanyol

Di Sepanyol dan di beberapa bahagian dunia yang berbahasa Sepanyol, bahasa Sepanyol bukan sahaja dipanggil sebagai Español tetapi juga Castellano, bahasa dari kerajaan Castilia yang membezakannya daripada bahasa-bahasa pertuturan yang lain di dalam Sepanyol seperti bahasa Galicia, bahasa Basque, bahasa Asturia, bahasa Catalan, bahasa Aragon dan bahasa Occitan.

Perlembagaan Sepanyol 1978 menggunakan istilah Castellano bagi mentakrifkan bahasa rasmi bagi seluruh negara Sepanyol berbeza dengan las demás lenguas españolas atau bahasa-bahasa Sepanyol yang lain. Perkara II dalam Perlembagaan Sepanyol berbunyi seperti berikut:

El castellano es la lengua española oficial del Estado. ... Las demás lenguas españolas serán también oficiales en las respectivas Comunidades Autónomas... Bahasa Castilia adalah bahasa rasmi bagi Negara... Bahasa-bahasa Sepanyol yang lain makanya menjadi bahasa rasmi di dalam komuniti autonomi mereka sendiri...

Selain itu, Akademi Diraja Bahasa Sepanyol atau Real Academia Española kini menggunakan istilah Español dalam penerbitannya namun dari tahun 1713 sehingga 1923 ia menggelarkan bahasa ini sebagai Castellano.

El diccionario panhispánico de dudas atau panduan bahasa Sepanyol yang diterbitkan oleh Akademi Diraja Bahasa Sepanyol menyatakan bahawa walaupun ia lebih suka menggunakan istilah Español dalam penerbitannya apabila merujuk kepada bahasa Sepanyol namun istilah Castellano masih lagi dianggap sebagai sinonim dan setara dengan rujukan yang selalu digunakan itu.

Etimologi Bahasa Sepanyol

Dari segi etimologinya, istilah Castellano ini berasal dari perkataan bahasa Latin iaitu Castellanus yang bermaksud, "sesuatu yang berkaitan dengan kubu atau istana". Etimologi yang berbeza mencadangkan bahawa istilah Español adalah terpakai untuk merujuk kepada bahasa ini.

Menurut Akademi Diraja Bahasa Sepanyol, perkataan diterbitkan dari perkataan bahasa Provençal iaitu espaignol yang diterbitkan lagi dari bahasa Latin pasar iaitu hispaniolus. Rujukan ini datang dari nama Latin bagi wilayah Hispania yang mengandungi rantau terkini dari Semenanjung Iberia.

Terdapat juga hipotesis lain selain daripada cadangan yang dikemukakan oleh Akademi Diraja Bahasa Sepanyol. Ahli filologi Sepanyol bernama Menéndez Pidal mencadangkan bahawa perkataan klasik hispanus atau hispanicus itu mendapat imbuhan -one dari bahasa Latin pasar seperti yang berlaku kepada perkataan lain iaitu Bretón (Breton) atau Sajón (Saxon). Perkataan hispanione kemudian berevolusi menjadi bahasa Sepanyol lama iaitu Españón yang kemudian berevolusi lagi menjadi Español .