Pengenalan kepada Bahasa Sepanyol

Bahasa Sepanyol ini adalah sebahagian daripada bahasa yang tergolong dalam kelompok bahasa Ibero-Romance dari cawangan bahasa Indo-Eropah. Ia berevolusi dari beberapa loghat bahasa Latin pasar di Iberia selepas kejatuhan empayar Romawi Barat pada abad ke-5 masihi. Teks bahasa Latin terawal sekali dengan jejak kemunculan bahasa Sepanyol datangnya dari abad ke-9 masihi di tengah rantau utara Iberia. Bahasa ini mula ditulis secara tersusun sejak abad ke-13 di kerajaan Castilia. Bahasa Sepanyol moden kemudian dibawa keluar oleh wizurai dari empayar Sepanyol menjelang tahun 1492 ke benua Amerika dan rantau-rantau lain di Afrika serta di Filipina.

Sebagai salah satu bahasa Romance, bahasa Sepanyol adalah merupakan turunan dari bahasa Latin dan hanya mempunyai sedikit sahaja perbezaan iaitu kira-kira 20% dengan bahasa Latin bersama-sama dengan bahasa Sardinia dan bahasa Itali. Sekitar 75% perbendaharaan kata bahasa Sepanyol diterbitkan dari bahasa Latin termasuklah perkataan bahasa Latin yang dipinjam dari bahasa Yunani purba. Selain itu, perbendaharaan kata bahasa Sepanyol juga dipengaruhi oleh bahasa Arab yang berkembang semasa zaman Andalusia di Semenanjung Iberia. Kira-kira lapan peratus daripada perbendaharaan kata bahasa Sepanyol mempunyai akar kata bahasa Arab. Di samping itu, bahasa Sepanyol turut dipengaruhi oleh bahasa Basque, bahasa Iberia, bahasa Celtic, bahasa Visigoth dan bahasa Romance lain seperti bahasa Perancis, bahasa Itali, bahasa Mozarabic, bahasa Portugis, bahasa Galicia, bahasa Catalan, bahasa Occitan dan bahasa Sardinia. Bahasa Sepanyol yang dituturkan di Amerika Latin pula mengandungi perbendaharaan kata dari bahasa asli seperti bahasa Quechua dan bahasa Nahuatl.

Bahasa Sepanyol adalah salah satu daripada enam bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia juga menjadi salah satu bahasa rasmi dalam Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Negara-Negara Amerika, Kesatuan Bangsa Amerika Selatan, Komuniti Negara Amerika Latin dan Carribean, Kesatuan Afrika dan pertubuhan antarabangsa lain. Bahasa Sepanyol bersama dengan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis merupakan bahasa asing yang paling banyak diajar di seluruh dunia. Walaupun bilangan penuturnya agak besar, namun bahasa Sepanyol tidak banyak digunakan dalam penulisan saintifik dan teknologi. Ia banyak digunakan untuk penulisan ilmu kemanusiaan dan ilmu kemasyarakatan. Bahasa Sepanyol adalah bahasa yang ketiga paling banyak digunakan di internet selepas bahasa Inggeris dan bahasa Russia.