Hubungan Gereja Nestoria dan Gereja Parsi

Empayar Parsi sudah lama menjadi tempat berdiam masyarakat Nasrani, namun mereka turut menghadapi pelbagai rintangan dan tentangan masyarakat Majusi yang menuduh mereka sebagai tali barut Romawi. Pada 424 M, Gereja Parsi mengisytiharkan kebebasan Gereja mereka daripada Byzantium dan semua gereja. Tujuannya adalah untuk menghapuskan tuduhan mereka bekerjasama dengan pihak asing.

Berikutan perpecahan jemaah Nestoria di empayar Romawi, Gereja Parsi memberi sokongan kepada jemaah Nestoria, dan langkah mereka ini disokong oleh puak pemerintah beragama Majusi di Persia. Gereja Parsi menerima pakai doktrin Nestoria. Pada 486 M, Metropolitan Nisibis, Bar Sawma, terang-terangan mengistiharkan bahawa Theodorus Mopsuestia yang menjadi mentor kepada Nestorius sebagai pihak pemantau kerohanian Gereja Parsi.

Apabila Sekolah Edessa di Mesopotamia ditutup pada 489 M oleh Maharaja Byzantium, maharaja Zeno disebabkan menyebarkan ajaran Nestorius, sekolah itu dibuka semula di Nisibis. Ia kemudian berubah nama menjadi Sekolah Nisibis, yang membawa bersama segerombolan pengikut Nestoria ke Persia. Baba Persia, Mar Babai I (497-502) meninggikan kedudukan Theodorus dalam Gereja Parsi, mengukuhkan Gereja dan menerima doktrin Nestoria.

Selepas bertapak di pusat-pusatnya di Persia, misalnya di Nisibis, Ctesiphon dan Gundeshapur, serta beberapa kota suci lain, Gereja Parsi-Nestoria mula melebarkan sayap ke luar empayar Parsi dinasti Sasan. Pada abad ke-6 M, terjadi pula pergelutan dalaman dinasti Parsi dengan orang Nasrani dikejar dan dirintangi oleh orang Majusi. Pergaduhan dalaman menyebabkan beberapa pecahan yang mula pada 521 dan berakhir pada 539 M dengan beberapa masalah diselesaikan.

Persaingan empayar Romawi dan Parsi membawa kepada kerajaan dinasti Sasan meragui Gereja Parsi semasa pemerintahan maharaja Khosrau I. Ia berakhir pada 545 M. Gereja Parsi tetap bertahan di bawah petunjuk Baba Mar Abba I yang dibaptiskan ke dalam Gereja dari agama Majusi. 

Gereja Parsi menjadi lebih kukuh selepas diuji bertalu-talu serta usaha mubaligh meningkat sampai ke kejauhan. Para mubaligh membangunkan daerah pemantauan uskup di Tanah Arab dan di India Selatan. Mereka juga masuk ke Mesir walaupun terdapat juga kelompok golongan Nasrani Monofisit di situ. Mubaligh Nestoria masuk ke Asia Tengah dan berjaya membaptiskan kelompok kaum Tartar tempatan. Mereka juga berjaya di China semasa awal dinasti Tang (618-907). Satu batu bersurat dikenali sebagai Stele Nestoria mencatatkan mubaligh Parsi bernama Alopen memperkenal fahaman Nasrani Nestoria ke China pada 635 M.

Berikutan kemasukan orang Islam ke Persia, pada 644 M, Gereja Parsi dilindungi sebagai kelompok bukan Islam Dzimmi bawah pantauan Khalifah al-Rasyidun. Gereja Parsi-Nestoria berkembang dan dilindungi bawah kekhalifahan ini. Menjelang abad ke-10 M, ada 15 pusat Metropolitan Gereja Parsi dalam wilayah khalifah berempat. Lima lagi di China dan India.