Doktrin Nestoria

Pandangan kenasranian ini dikembangkan untuk menerangkan secara rasional dan memahami penzahiran Kalimah atau Isa al-Maseh, iaitu tokoh kedua terpenting dalam agama orang Nasrani. Nestoria belajar di Sekolah Antiokia bersama dengan mentornya, Theodorus Mopsuestia. Theodurus dan lain-lain agamawan di Antiokia sudah lama mengajarkan tafsiran secara literal bagi Kitab Suci dan menekankan perbezaan sifat insaniah dan sifat ilaiah Isa al-Maseh.

Nestorius membawa bersama ajaran mentornya ini apabila beliau dilantik menjadi Baba di Konstantinopel oleh maharaja Romawi Timur, Theodosius II pada 428 M. Fahaman Baba Nestorius ini menjadi punca kepada kontroversi apabila beliau mengisytiharkan pada umum yang beliau menggugurkan istilah Theotokos yang merujuk kepada Maryam Perawan. Beliau menyatakan bahawa gelaran itu cuma menafikan insaniah penuh al-Masih, dan menyatakan bahwa al-Masih berada dalam dua sifat, iaitu sifat Kalimah dan sifat insaniah Isa al-Masih. Beliau mencadangkan supaya digunakan saja gelaran Kristotokos atau Ibu al-Maseh bagi merujuk Maryam.

Lawan Nestorius nampak bahawa fahaman ini seperti bidaah Adoptionismo iaitu al-Masih dilahirkan oleh manusia yang kemudian diangkat menjadi anak Tuhan. Yang mengkritiknya terutama sekali adalah Cyrilus, Baba di Iskandariah. Baba Cyrilus berpendapat bahawa fahaman beliau ini menenggelamkan kesatuan ilahiah dan insaniah pada sifat al-Masih, dan yang lain-lain pula berhujah bahawa perbezaan yang ditekankan antara sifat insaniah dan ilahiah al-Masih itu mencetuskan pecahan pula pada ketunggalan diri al-Masih yang sekaligus mencetuskan dua diri al-Masih.

Baba Nestorius berkali-kali menekankan bahawa pandangannya itu adalah Ortodoks, walaupun dicap sebagai bidaah dan sesat oleh Majelis Efesus Pertama 431. Keadaan berterusan ini menyebabkan perpecahan dalam jemaah gereja dalam empayar Romawi. Gereja-gereja yang menyokong baba Nestorius pun ikut memisahkan diri dari Gereja Romawi. Kemudian, fahaman ini berkembang lagi apabila Isa al-Masih dilihat sebagai mempunyai dua sifat yang bersatu dalam jasad. Ini disebut sebagai hipostasis Kalimah Tuhan dan manusia al-Masih. 

Walau bagaimanapun, formulasi ini tak pernah dipakai oleh semua Gereja yang dikenali sebagai Gereja Nestoria pun. Gereja Suryani Timur hari ini memang menghormati Baba Nestorius, tapi tidak sepenuhnya menggunapakai doktrin Baba Nestorius walaupun menolak rujukan Theotokos.