Sejarah Gereja Timur dan aliran Nestoria

Gereja Timur dikenali juga sebagai Gereja Nestoria, Gereja Parsi, Gereja Suryani Timur, Gereja Kaldani Suryani di India, Gereja Kerasulan Suci Sejagat Suryani di Timur atau sebagai Gereja Timur Suryani.

Gereja Suryani Timur diasaskan di Edessa dalam abad pertama era Masehi. Dari Edessa lah, pesan-pesan dari Injil tersebar ke merata-rata. Edessa merupakan sebuah kerajaan kecil. Ia juga sebuah negeri penampan antara empayar Romawi dan empayar Parsi. Mar Maryam telah dihantar ke tanah Parsi oleh sahabatnya para pekerja di Edessa.

Dalam abad kedua masehi, gereja Nasrani mula disusun. Gereja di Edessa memakai empat injil dalam bahasa Aramia. Ajaran ini tersebar dalam empayar Parsi. Dalam abad ketiga masehi, gereja dalam empayar Parsi memberi perlindungan kepada pelarian-pelarian Nasrani dari empayar Romawi. Hal ini kerana empayar Romawi ketika itu tidak mengalu-alukan orang Nasrani. Ramai lah penganut ajaran al-Masih masuk ke Parsi bagi mengelakkan dihukum oleh kerajaan empayar Romawi Timur. Berapa ramai pula orang Nasrani yang tertinggal dalam wilayah-wilayah empayar Romawi menghadapi seksaan dan dipaksa meninggalkan ajaran al-Masih.

Dari tahun 280 M, Mar Papa menyusun Gereja Timur, maka kerusi Metropolitan Seleukia menjadi ibu pejabat gereja. Kini, kota tersebut hanya tinggal runtuhan sahaja dikenali sebagai Taman Salman kira-kira 30 batu dari bandar Baghdad.

Mar Aprim orang Suryani menjadi perwakilan Gereja dalam perhimpunan majlis gereja pertama di Nikea dalam 325 M. Beliau memainkan peranan besar dalam kehidupan beragama dan sastera agama orang Nasrani hari ini. Itu sebabnya, beliau diiktiraf dalam Gereja Katolik Roma. Beliau diisytiharkan sebagai salah seorang guru dan wali dalam Gereja Sejagat.

Dalam abad kelima masehi, muncul pula kontroversi Nestoria melibatkan hal sifat ilahiat dan insaniat dalam diri al-Masih yang tersebar luas juga seluruh dunia. Pada masa itu, Gereja Timur tidak terlibat langsung dalam permasalahan ini. Ia cuma perselisihan yang wujud dalam empayar Romawi sahaja.

John Nestoria bukan lah seorang Suryani. Beliau langsung tidak pandai berbahasa Suryani. Beliau merupakan seorang anak jati Antiokia dan berada dalam Kebapaan Konstantiniah dari 428-431 M. Saingan beliau dalam gereja adalah Cyril yang merupakan Bapa di Iskandariah. Oleh itu, ahli-ahli Gereja menyatakan bahawa mereka tidak ada kaitan langsung dengan kontroversi Nestoria. Selepas beberapa tahun dan selepas kematian Nestoria dalam 451 M sahaja baru orang Nasrani Parsi mendengar tentang kontroversi ini. Mereka bersepakat bahawa pendirian yang diambil oleh Nestoria adalah selari dengan pandangan yang dipegang oleh Gereja Timur.   

Di samping itu, penganut ajaran al-Masih yang menurut pandangan Nestoria terpaksa melarikan diri dari kawasan empayar Romawi ketika itu. Mereka meminta perlindungan Gereja Timur. Ibu pejabat Gereja di Seleukia-Stesifon merupakan kawasan yang sesuai terletak di pertengahan sungai Tigris dan merupakan pusat perhentian antara Eropah dan Asia. Bermula pertengahan abad keenam masehi, Gereja Timur melebarkan sayap nya ke Mesir, Suriah, Semenanjung Tanah Arab, Mesopotamia, Tanah Parsi, benua India, Sri Langka, China dan Mongolia di timur jauh.

Prof. P. Y. Saeki menyatakan bahawa aliran pandangan Nestoria turut menembusi kesusasteraan Cina. Gereja ini mempunyai mubaligh-mubaligh yang berwibawa. Mereka menyebar dengan pantas. Benua Asia sahaja menerima ramai mubaligh Gereja Timur. Mereka tidak mendapat bantuan negara dalam usaha penginjilan mereka, tiada jawatankuasa penginjilan teratur yang mengarahkan kegiatan mubaligh mereka seperti mubaligh Gereja Barat yang datang bersama-sama dengan empayar-empayar penjajah Barat.

Ini lah masanya untuk semua mendengar tentang masa lampau Gereja Nestoria yang dilupakan. Kisah-kisah menakjubkan yang dihadapi oleh penginjil Gereja Nestoria dari abad awal Masihi. Orang-orang Nasrani ini langsung tidak membawa apa-apa harta bersama mereka, tiada susun atur kegiatan penginjilan, tiada sebarang perkongsian maklumat dalam persidangan bertaraf dunia bagi memenangi hati dunia seperti hari ini untuk menerima pembaptisan.

Mereka cuma membawa kitab Injil bersama mereka merentasi benua Asia dan menderita sendirian. Ramai juga mendapat kesyahidan dengan nama al-Masih. Orang awam yang menurut pendirian Nestoria atau pun paderi-paderi sama-sama didorong oleh roh kudus dalam usaha menyebar luaskan Kerajaan-Nya.

Di mana-mana sahaja ada mereka, mereka mengajar, memberi nasihat dan membawa penyembuhan. Sehingga berakhirnya abad ke-11 M, Gereja Nestoria merupakan antara aliran Nasrani terbesar dianuti ketika itu. John Stewart menulis:

Semua orang dengan pemerintah mereka menjadi Nasrani dan nampak sedikit sahaja tempat dalam benua Asia yang tidak terjangkau oleh mereka. Ia merupakan hasil dari kegiatan para penginjil gereja ini yang tersebar dari China ke Jerusalem dan Cyprus dan dalam abad ke-11 M, ia sudah mengatasi gereja orang Romawi dan gereja orang Yunani walaupun kedua-dua nya digabungkan.

Dari Lautan Pasifik dan di Timur sehingga Lautan Tengah di Barat, dari Laut Hitam dan Siberia sehingga Lautan Hindi dan Laut Arab, penginjil Suryani membawa bersama ajaran al-Masih. Asia Kecil, Cyprus, Mesir, Palestin, Mesopotamia, Tanah Arab, Tanah Parsi, Afghanistan, benua India, empayar China, Jepun, Mongolia, Manchuria dan Turkistan semuanya dalam genggaman penginjil dari Gereja Suryani Timur.

Penginjil Gereja Suryani antaranya termasuklah para uskup, paderi-paderi dan shammas. Dikisahkan juga tentang lelaki-lelaki yang menjadi utusan bagi Raja segala raja ini sopan santun nya bak kibas dan merendah diri. Mereka juga berani berhati waja seperti singa. Mereka mengorbankan nyawa dan kesihatan mereka di tanah yang asing dalam kalangan orang kafir dengan iman dan keyakinan terhadap Tuhan.

Mereka masuk ke Mesopotamia, tanah kelahiran Ibrahim, bapa kepada semua yang beriman. Mubaligh ini berjalan kaki sahaja mengembara memakai selipar dan dengan kayu gembala di tangan, membawa bakul di belakang mereka berisi gulungan kitab suci dan salib. Mereka merentas denai-denai dalam hutan, mendaki pergunungan tinggi, melintasi sungai-sungai dalam yang deras beribu-ribu batu jauhnya. Orang kafir yang menyembah berhala diberitakan tentang penyelamat yang akan memikul dosa mereka dengan dirinya dan menyelamatkan mereka. Mereka menanam benih-benih kebajikan dalam ladang, bekerja tekun dan memenangi roh ummat kafir.

Kerja mubaligh ini menjadi berkat kepada ummat-ummat tersebut. Para mubaligh mempengaruhi mereka yang menerima berita yang disampaikan. Mereka membawa ramai orang keluar dari dosa memuja berhala kepada Tuhan. Mereka pergi ke istana-istana mengadap raja-raja dan ke gubuk-gubuk orang miskin. Raja-raja dan putera raja mendengar ajaran tentang cinta kasih al-Masih lantas mereka beriman. Rakyat menurut putera-putera raja mereka dan dengan tangan mereka sendiri, mereka menghancurkan berhala-berhala dalam kuil mereka yang sebelum ini dipuja disebabkan oleh kegelapan rohani. Kurnia besar yang diterima mubaligh-mubaligh ini tidak disimpan mereka seorang sebaliknya disebarkan pula dengan cara terbaik dengan penyebaran kata-kata al-Masih kepada yang bernyawa. 

Dalam abad ke-14 M, usaha mubaligh mula menurun. Ini disebabkan oleh mereka dikejar, diharamkan, dan dibunuh oleh tentera Mongol. Saki-baki yang terlepas dari hukuman dikenakan oleh Timurlan mencari perlindungan di pergunungan di Kurdistan. Kemudian berlaku perpecahan antara mereka apabila Sulaqa yang memohon perlindungan dengan Gereja Katolik Romawi dikejar oleh orang Kurdis dan oleh empayar Turki Osmaniah dalam Perang Dunia Pertama. Gereja menjadi lemah selepas itu.

Gereja Suryani Masa Kini

Perubahan abad dan semasa perang dunia pecah, orang Suryani memasuki era baru iaitu era keganasan. Kampung-kampung mereka dibakar dan gereja dijarah. Ratusan kitab-kitab pengajian ajaran al-Masih dibakar, dicuri dan dimusnahkan. Hanya sedikit sahaja yang sampai ke muzium-muzium terkenal dunia.

Tindakan perwira pejuang Suryani di kawasan pergunungan jarang sekali sampai ke telinga dunia. Mereka melawan dengan cara mereka tersendiri menentang orang-orang liar yang fanatik. Tragedi pembunuhan besar-besaran setiap keluarga Suryani masih segar lagi dalam ingatan orang Suryani.

Kesan yang buruk diterima setiap orang Nasrani Timur dari abad ke-12 M lagi menyebabkan mereka dihalau keluar dari tanah nenek moyang mereka dan menyebabkan mereka bertebaran di serata dunia. Di mana sahaja mereka berada, mereka akan berkumpul semula dan mendirikan masyarakat yang masih bertahan dengan keimanan lama mereka. Mereka ada di Iraq, Iran, Suriah, Kuwait, Yunani, Italia, Sweden Russia, Amerika Serikat, Australia dan Kanada.

Kemerosotan umum dalam Gereja Timur ini membuatkannya lupa tentang warisan mubaligh lampau nya. Kejatuhan pergerakan biarawan juga menyumbang kepada penghapusan langsung pergerakan biarawan dalam Gereja Timur. Pihak Gereja Timur hampir berjaya membaptiskan seluruh Mongolia ke dalam ajaran al-Masih.

Dalam kemerosotan ini, masih ada lagi orang muda yang merasakan warisan ini perlu diteruskan. Gereja Timur terus berkembang dalam era baru dengan matlamat mengajarkan keturunan orang Suryani dengan ajaran-ajaran al-Masih melalui adat-istiadat dan tradisi nenek moyang. Mereka juga memastikan bahasa Aramia dihidupkan kembali dalam upacara Eukaristi seperti yang dibacakan oleh Saiyyid al-Masih.

Keimanan dan Akidah

Akidah Gereja Timur berpegang teguh dengan apa yang didasarkan melalui al-Kitab. Ia tidak pernah berubah berabad-abad lamanya. Kata al-Masih: "Periksa semua kitab; dalamnya kamu berkeyakinan bahawa kamu kekal hidup abadi; itu lah orang yang menyaksikan aku" (Yukhana 5:39)

Dari segi akidah, Gereja Timur adalah Gereja Kerasulan dan Sejagat. Ia memegang teguh warisan Kerasulan. Kepaderiannya menurut kepada janji Simeon Petrus: "Kepada engkau aku berikan kunci Kerajaan Langit, dan apa yang mengikat kamu di bumi akan berada di langit dan apa yang kamu hilang di bumi maka kamu akan hilang di langit. Kesempurnaannya dalam suruhanjaya diberikan oleh sayyid al-Masih kita kepada utusannya; dengan kata-katanya: "Dia yang meniupkan kepada mereka lantas berkata, terimalah kamu roh kudus, jika kamu memaafkan seorang itu maka dia akan dimaafkan dan jika kamu tidak memaafkan nya, maka tergantung lah dia. Perserikatannya oleh itu dengan perantaraan Tuhan dan manusia tanpa sebarang kekuasaan mengampunkan atau menjatuhkan hukum dosa kepada orang!"

Dengan dasar ini lah Gereja Suryani Katolik di Timur mendasarkan sembilan susunan gerejanya seperti yang diterima mereka melalui utusan suci Mar Toma, Mar Addai, Mar Bartulmai dan Mar Man Ketujuh Puloh. Ia menyatakan bahawa tanpa Penggantian Kerasulan, tiada sebarang upacara sakramentu boleh dijalan dalam gereja dan tanpa upacara sakramentu maka tiada sebarang gereja dan tiada sebarang penggerak roh kudus. Tersebut lah dalam bab kelapan ayat 14-17 Perbuatan Para Utusan: "Kini apabila utusan-utusan di Jerusalem mendengar kepada orang Samaria yang telah menerima kata-kata Tuhan, mereka hantar lah Simeon, Petrus dan Yukhana. Apabila semua mereka dihantar, maka mereka pun mendoakan ke atas mereka dan membaptiskan mereka dengan nama Sayyid Isa al-Masih. Apabila mereka meletakkan tangan mereka lalu mereka menerima roh kudus". 

Gereja Timur tetap setia dengan perintah al-Masih dan ajaran serta amalan gereja awal. Mereka masih lagi mengekalkan Penggantian Kerasulan serta melalui ujian dan zaman penuh pancaroba dalam 20 abad sejarahnya. Gereja Timur beriman dengan Tiga yang Tunggal selaras dengan Majlis Nikea. Berkenaan dengan rahsia pembahagian sifat al-Masih, ia mengakui bahawa al-Masih mempunyai dua sifat iaitu sifat ilahiat dan insaniat dalam dua Qanume atau Kesatuan Jasad anak Tuhan. Satu kehendak dan satu kekuasaan. Dua sifat ini bersatu secara abadi dan tidak terpisah. 

Ia menolak istilah Theotokos yang bermaksud Ibu Tuhan untuk merujuk kepada Maryam. Ia berpegang bahawa istilah tersebut tiada sebarang dasar dari al-Kitab. Boleh membawa kepada salah faham masyarakat dan membawa kepada kesilapan. Ia kekal berpegang dengan Satu Gereja Kerasulan Sejagat Yang Suci yang melindungi keimanan Nasrani, yang berkuasa penuh melalui kuatkuasa kata-kata al-Masih melalui roh kudus, untuk menyebarkan injil kepada manusia semuanya dan untuk menafsirkan makna al-Kitab kepada yang beriman; namun tiada sebarang kuasa untuk mengajar sebarang akidah yang tiada dasar dari al-Kitab.

Hal ini disokong oleh kata-kata Utusan Paulus: "Walau siapa pun dalam kalangan kita atau seorang malaikat dari langit yang mengajarkan injil kepada kamu yang mengajarkan selain dari apa yang diajarkan, maka biarlah dia mendapat khrim (laknat)".  

Ilmu akidah Gereja Timur dinyatakan secara ringkas dan jelas seperti taratíl yang ditulis oleh Mar Babai, seorang agamawan Gereja:

"Satu al-Masih, anak Tuhan, dipuja dalam dua sifat; Dalam keilahian tercetus dari Bapa. Tanpa awalan, sebelum semua zaman; Lahir dalam insaniat dari Maryam; lengkap setiap masa, dalam jasad bersatu. Bukan dari segi ilahiat tapi dari segi sifat dari ibu; Bukan dari segi insaniat atau dari sifat Bapa; Sifat-sifat terpelihara dalam Qanuma dalam seorang anak. Dan sebagai anak itu bersifat dua dalam satu jasad, maka begitu lah yang diajarkan oleh Gereja Suci".

Gereja Sejagat Kerasulan Suryani di Timur, walau bagaimanapun hari ini dikenali secara umumnya oleh saudara Nasrani Barat sebagai Gereja Nestoria. Kesilapan dalam penamaan ini menyebabkan mereka berpikir bahawa Gereja ini diasaskan oleh Nestoria dan menerima ajaran dari pengikut aliran Nestoria.

Akidah Nestoria telah ditafsir salah atau dengan sengaja ditafsirkan oleh saingan-saingan Nestoria sebagai akidah dua orang dalam diri al-Masih. Tuduhan ini tentunya berasal dari Majlis Efesus. Hal ini bagaimanapun sudah banyak diperjelas oleh ramai cendekiawan Nasrani Protestan di Barat dan oleh cendekiawan Katolik Roma sendiri.

Ensiklopedia Britanica menyatakan: "Setakat yang diperkata oleh Nestoria sendiri, nyata sekali yang beliau tak pernah menyusun akidah sebegini atau pernah menyebut mengenainya. Tapi sudah lumrah namanya akan disebut apabila sampai kepada bidaah sebegini. Bagi Gereja Suryani Timur, kerana mereka tidak pernah mengubahsuai keimanan sebenar mereka, tetapi tetap teguh dengan apa yang diterima oleh para utusan al-Masih, maka mereka secara tidak adilnya dikelaskan sebagai pengikut aliran Nestoria. Nestoria bukannya salah seorang Bapa Gereja mereka pun, mereka tidak faham bahasa Yunani yang dituturkan oleh Nestoria pun, cuma apabila mereka mendengar tentang Nestoria mengajarkan akidah dua Sifat dalam dua Qanume, satu kehendak, satu-satunya anak-Nya, satu al-Masih, dan bahawa Nestoria memegang keimanan Ortodoks, maka mereka menyaksikan Nestoria, kerana keimanan mereka adalah sama".

Nestoria kemudian yang mengikut kepada mereka. Bukannya beliau yang diikuti mereka. Utamanya juga dalam hal gelaran kepada Maryam sebagai "Ibu al-Masih". Apabila Nestoria disingkirkan dari Gereja di Barat, Gereja di Timur enggan memulaukan Nestoria, sebaliknya berpandangan bahawa pemulauan Nestoria sebagai pemulauan kepada al-Kitab dan juga semua Utusan al-Masih yang mana mereka terima akidah mereka itu dari mereka yang kemudian terkait juga dengan Nestoria.